Wednesday, November 07, 2012

Clear.

Bosan betul kerja.

Aku terperangkap dalam kuantum masa yang memanjang. Celaka. Mungkin aku patut langkau dan teruskan dengan perkara yang lebih penting.

Menulis.

Tuesday, August 07, 2012

Membudayakan sayur.

Aku tengah tengok Supersize Me bila aku tahu yang si Morgan Spurlock ni sebenarnya memang mengamalkan diet vegetarian sebelum kejadian Supersize Me ni. Dan aku pulak dalam fasa pencerahan awal sebelum mengetahui propaganda anti makanan segera bila aku menamatkan obses sembilan tahun terhadap Mc Donald.

Dan bila aku berhenti merokok, ia macam situasi yang kebetulan tepat dengan memulakan diet vegetarian. Percubaan pertama dulu gagal sebab aku tak dapat mengenalpasti makanan alternatif menggantikan makanan ruji sedia ada.

Sekarang aku rasa macam nak start balik jadi vegetarian. Kali ini kena spesifik sikit. Bila-bila masa dari sekarang, mungkin aku akan tamatkan hiatus vegetarian. Cuma aku akan masih konsum produk tenusu, dan kambing.

Sebab sekarang aku tengah obses dengan kopi dan kambing. Hahaha

Monday, July 23, 2012

Sabar itu separuh dari Sabaruddin.

Aku memang tak suka pakai jam tangan. Rasionalnya, bila dah ada henset, buat apa kau susah-susah pakai jam tangan? Kali terakhir aku membudayakan pemakaian jam tangan adalah waktu sekolah menengah. Rasanya seingat aku, aku tak pernah beli jam tangan sendiri.

Samada aku pakai jam tangan arwah abah, atau kakak aku beri hadiah, atau dapat percuma sebab menang peraduan. Kawan bagi pun ada juga.

Walaupun pada waktu sekolah agak popular dengan G-Shock dan jam Spoon, tapi aku tak pernah sibuk-sibuk nak beli. Sebab mahal pun ye gak. Tak mampu pun satu hal. Tapi, bila fikir balik, jam paling koman yang pernah jadi trend macam jam Casio atau jam Hawaii pun aku tak kalut juga nak beli. Memang aku tak kisah sangat pasal jam kot.

Jadi, tamat sekolah menengah, aku mula pakai henset, maka jam tangan aku dah mula lupakan. Hinggalah tiga bulan yang lepas, waktu aku di Batu Pahat.

Aku pergi kedai duplikat kunci untuk buat kunci pendua pada tiga bulan yang lepas. Kedai duplikat kunci dan juga merangkap kedai jam, sebab kedai ni memang majornya jual jam. Jam dinding, jam tangan, jam loceng, dan segala macam jenis jam.

Tiba-tiba aku ternampak jam tangan Swatch warna merah yang mencolok mata aku. Dia punya colok lain macam sebab aku rasa macam nak beli.

"Berapa ni bos?"

"RM30. Bagi you RM25 la," Of course la, bukan Swatch betul, tiruan je.

Tapi aku tak beli. Sebab aku sedar diri aku bukan pemakai jam tangan. Tapi bila aku dah dalam perjalanan balik ke KL aku dah rasa macam menyesal pula tak beli. Macam elok je aku beli. Tapi tak apa, lain kali aku balik BP, aku mesti beli.Agak pelik juga, dah la warna merah. Entah bila perangai Amirul Idham yang suka memakai warnayang kontras dengan tone kulit ni tersampuk dekat aku.

Nak jadi cerita, kelmarin aku balik BP. Dengan semangat berkobar-kobar, aku ke kedai jam. Sebenarnya masa tu akunak pergi solat terawih, tapi aku melencong dulu pergi kedai jam. Sampai kedai, aku tengok jam tu masih ada lagi.

"Bos, berapa ni?" Saja tanya, nak berbahasa bahasi, walaupun dah tahu harga.

"Ini ka? RM15..I bagi you RM10 saja dah la,"

Aku dengan terkejut beruk dan spontan menuturkan ayat keramat, "Okay, bagi dua bos, hitam satu, merah satu."

Jadi, percayalah hadirin hadirat sekelian, banyak kebaikan yang diperolehi dari bersabar. Walau sekecil mana pun. Walllahualam bissawab.

Thursday, July 19, 2012

Kepingan.

Situasi ini macam mencari dan mencantumkan kepingan-kepingan jigsaw. Aku percaya semua kepingan sudah lengkap, cuma aku tak dapat cantumkannya, walaupun sepasang. Ini yang aku benci tentang stuck.

Lagi-lagi esok sudah kembali ke kubikel yang bosan.

Wednesday, July 18, 2012

Radio.

Kami berada di dalam kereta bila radio menyiarkan panggilan seorang isteri yang mengadu tentang suaminya curang.

Aku memang jarang dengar radio, kecuali di dalam kereta, itu pun kalau si isteri yang buka. Seperti sekarang. Aku sudah berhenti mendengar radio sejak lima, enam tahun yang lepas. Aku rimas sebab format radio popular yang suka ulang lagu yang sama. Malah, aku percaya, ia bukan lagi tahap ulang lagu yang sama, sekarang sudah tahap ulang playlist lagu yang sama.

"Bila pergi kerja pagi-pagi, dah boleh hafal dah lagu apa yang akan mainkan. Setiap pagi ulang playlist yang sama," kata si isteri, "Baik pasang CD."

Alhamdulillah, propaganda anti radio yang aku sebarkan pada dia, nampaknya macam berhasil. Tapi aku lupa, kalau dah memang hobi mendengar radio, memang susah nak kikis. Macam sekarang, di dalam kereta, dan dia buka radio.

Aku dengar juga sebab perjalanan jarak dekat saja.

"Saya sedih, suami saya curang. Saya baca sms dia panggil kawan dia sayang," kata si pemanggil.

Well, lebih kurang macam tu la. Suami curang sebab memang dulu dia ada affair dengan kawannya tadi. Dan suaminya memang mengaku pun. Deejay yang bertugas, sedaya upaya cuba untuk memberi semangat dan suruh berfikiran positif, "Mungkin dia bergurau kot dengan kawan dia tu."

"Bergurau apanya siap nak bersayang-sayang bagai. Dah dulu memang pernah ada affair," kata si isteri, "Tak membantu betul deejay ni,"

"La, memanglah," kata aku, "Orang kalau nak selesaikan masalah, diorang tak telefon radio. Diorang telefon radio sebab nak mengadu saja. Bukan nak selesaikan masalah. Deejay bukan boleh selesai masalah pun,"

"Tapi takdelah suruh berfikiran positif kalau dah sampai tahap ni," bantah si isteri.

Aku gelak, "Okay la, boleh je kalau nak berfikiran positif,"

"Macam mana?"

"Oh, sebenarnya suami dia tu bukan panggil kawan dia sayang, tapi tengah taipkan lagu Alif Satar kat member dia - Sayang, sayang, sayang, kau sudah berpunya~~~. Ha, lepas tu member dia pulak reply: mana ada orang nyanyi lagu tu dah, sekarang orang nyanyi - Baby, baby, jangan kau marah, kerna ku toolakk~~. Ha, positif abis dah alasan ni," kata aku sambil gelak.

Saturday, July 14, 2012

Rehat.

Ah. Tak menjadi sangat analogia aku beberapa hari ini.

Baik aku berenti menulis kejap dan buat lagu. Dah kompem-kompem tak berfaedah.

Thursday, July 12, 2012

Kekok.

Okay, Julai sudah datang dan aku tersekat di segala apa perancangan sebab Julai memang begini. Jadi, lebih baik aku lepak kejap dan update blog ni.

Jadi, apa yang berlaku baru-baru ini?

Tak ada apa sangat. Pergi kerja, balik kerja, lepas tu ulang balik. Bosan rupanya jadi orang dewasa. Seronoknya pada waktu-waktu tertentu saja. Berbanding dengan jadi budak-budak. Tak seronok hanya pada waktu-waktu tertentu. Aku ingat lagi masa aku kecil-kecil lagi dah menerapkan habit anti sosial aku, duduk rumah, tengok tv dan jarang bergaul dengan jiran-jiran.

Kalau ikutkan, pada waktu itu, bukan salah aku pun, sebab mak aku sendiri tak bagi aku keluar rumah. Duduk rumah, baca buku, buat kerja rumah. Walaupun aku banyak tengok tv je.

Alasan mak tak bagi aku keluar rumah? Banyak. Sebenarnya, bukanlah dia tak bagi aku keluar rumah, cuma dia tak bagi aku berkawan dengan jiran-jiran. Jadi, kalau dah keluar rumah tapi kena main sorang-sorang, baik aku duduk rumah je.

Mak aku tak bagi aku berkawan atas sebab yang pelik sebenarnya. Dia tak bagi aku berkawan dengan kawan-kawan belakang rumah aku sebab mereka suka masuk hutan dan main benda-benda kotor. Dan juga sedikit prejudis sebab ada seorang yang berbangsa Cina dalam grup tu. Taklah sebab rasis, tapi sebab streotaip yang dia pelajari, semua Cina pengotor. Aku pergi main pulak dengan jiran sebelah rumah, pun dia tak bagi sebab aku akan kotorkan rumah mereka. Akhirnya aku malas nak layan. Duduk rumah je la.

Aku bukanlah nak cakap mak aku agak kolot atau terlampau protektif, cuma aku cerita pasal benda ni sebab kelmarin aku nampak ada budak belasan tahun memakai serban naik motor, membonceng dengan bapanya, mungkin.

Apa kaitannya? Satu, sebab aku masa umur macam tu pun sebenarnya buat benda yang sama, pakai serban. Biasalah, bila ada seorang kawan sekolah buat, nampak cool, memang semua orang ikut. Aku pun terpengaruh pakai serban dan pergi solat jemaah di masjid. Bukan sebab nak tunjuk alim, tapi saja nak cari sebab untuk pakai serban.

Dua, kalau aku ada anak, belum tentu aku akan begitu supportif untuk sokong dia pakai serban pergi masjid. Lebih-lebih lagi kalau aku tahu tujuan dia pakai serban sama saja macam aku, terikut-ikut dengan kawan. Tapi mak aku, dia supportif, siap tolong carikan kain untuk buat lilit serban.

Bila fikir balik, betul gak, kita dibesarkan berdasarkan apa yang diberikan pada kita.

Cuma bila kita sudah boleh mengurus diri sendiri, baru kita memilih jalan sendiri.

Tuesday, July 03, 2012

Friday, June 22, 2012

Gosip.

Aku dah mulakan diet sihat untuk menurunkan berat badan.

Setiap hari, aku akan melakukan senaman berbasikal, minimum 7 kilometer sehari. Ni aku tengah cuti, jadi aku gandakan sedikit usaha, 15 kilometer sehari. Bukan saja nak pouo nak kayuh lama-lama, tapi dia dah jadi macam adrenalin junkie. Badan rasa lebih bertenaga bila berpeluh.

Kalau ikutkan pencapaian, masih jauh lagi sebenarnya. Susut 10 kilogram dalam 100 hari. Tapi sekarang nampak lah sikit susutnya, tapi tak obvious sangat. Skala berat pada timbang pun macam tak berubah-ubah. Tapi, aku anggap itu cuma benda sampingan, yang penting, nampak kat badan.

"Awak ingat tak pakcik hari tu?" kata si isteri.

"Pakcik mana?"

"Yang hari tu last kita jumpa dia cakap awak dah berisi, pipi dah tembam,"

"Ha, okay, kenapa?"

"Saya yakin, nanti kalau awak dah kurus, mesti dia tanya, awak sakit ke pulak."

Aku tergelak dengar dia cakap. Susah nak puaskan hati semua orang, sebenarnya.

Thursday, June 14, 2012

Sub-budaya.

Kalau menurut falsafah sub-budaya, situasi gaya hidup aku sekarang boleh dikategorikan sebagai Straight Edge.

Jadi, bila benda-benda berkaian sub-budaya dan bawah tanah ni muncul semula, keinginan menjadi vegetarian muncul semula. Berdasarkan pengalaman sebagai vegetarian yang gagal sebelum ni, aku kena rancang strategi mana-nak-makan aku sebelum aku bercita-cita nak jadi vegetarian semula.

Kalau tak, aku cuma jadi vegetarian dalam hiatus seperti biasa.

Tuesday, June 12, 2012

Rah Tengker.

Kadang-kadang aku suka ambil benda remeh temeh jadi serius.

Macam keadaan sekarang. Tiba-tiba datang satu sensasi untuk aku beralih kepada sesuatu yang baru sebab aku dah tepu dengan benda lama. Sebenarnya, hal ni mudah saja, aku bosan dengan kerja sekarang, jadi aku, cari kerja lain, dapat kerja lain, hantar surat perletakan jawatan dan kemudian teruskan dengan hidup. Tak adalah sensasi sangat.

Tapi sebab aku selalu fikir setiap transisi yang memerlukan aku mengambil keputusan yang bukan spontan, adalah sesuatu yang besar, maka inilah yang berlaku.

Aku rasa macam sekarang aku bukan bercadang sahaja bercadang bertukar kerja, malah aku ingin melakukan transisi luaran. Dalaman? Err..itu..akan dibincangkan kemudian.

Kali terakhir aku lakukan perkara yang aku istilahkan sebagai perubahan (luaran ialah) selepas tamat sekolah. Aku ubah gaya rambut, buang cermin mata, tambah berat badan, pakai segala bagai jenis krim untuk hilangkan jerawat, duduk berkurung dalam rumah selama sebulan supaya cerah sebab tak kena matahari (ini kisah betul, kulit aku jadi cerah sebab sebulan tak kena matahari, aku keluar malam saja. Tapi, lepas tu, bila sehari suntuk keluar siang, berjemur, terus jadi tak cerah balik. Sebulan tak keluar rumah sia-sia macam tu je.)

Hasil dari usaha tersebut, kebanyakan kawan-kawan aku hampir tak cam aku. Bukan tak kenal, tapi tak cam. Ada seorang kawan yang aku kenakan dia dengan duduk sebelah dia dan saja ikut baca komik yang dia tengah baca. Sampai habis baca pun tak dapat cam, "Apahal mamat ni mengendeng baca komik aku?". Ada juga yang aku dah janji nak jumpa, tapi bila aku sampai, dia buat muka pelik, "Kenapa mamat ni senyum-senyum kat aku?"

Macam bangsat je perasaannya. Tapi seronok pun ada juga.

Tapi ini tak boleh diaplikasikan kepada kawan-kawan rapat. Atau special case, cikgu tadika aku. Diorang ni masih boleh cam aku lagi.

Jadi, selepas aku membeli belah kemeja baru, selepas menghantar permohonan kerja baru, selepas menjadi perantau masa, selepas berhenti merokok, selepas mula merancang diet, dan selepas mendapat petunjuk dari imej pelakon porno, maka dengan ini, aku mahu ulang semula proses ini.

Transformasi, kalau mengikut kata Ah Jib Gor.

Tuesday, June 05, 2012

Berani.

Aku rasa aku memang dah tepu habis dengan kubikel aku.

Bukan setakat tepu, aku rasa macam dah bangsat sangat. Aku malas sebenarnya nak memikirkan hal kerja, tapi apabila perkara yang aku anggap sebagai protes, sebenarnya hanya memberatkan orang lain, maka aku ambil keputusan untuk berhenti. Bukan sebab aku give up, tapi sebab aku rasa, ia merosakkan emosi aku.

Si isteri anggap aku hanya bergurau, tapi apabila aku dah mula membeli belah baju kemeja baru, seluar slack baru dan dengan alasan "Untuk interview nanti," dia mula rasa yang aku benar-benar serius.

Lama sangat sebenarnya aku fikir sebelum ambil keputusan ini, tapi biarlah lambat sedikit daripada terlepas.

Packing. (3)

Okay, kita kembali ke dua minggu yang lepas, tentang aku dan segala perkara yang aku rungutkan tentang kursus indoktrin atau latihan korporat.

Tapi agak ironi juga sebab sepanjang kursus itu, aku rasa gembira.

Bukan sebab fasilitatornya bagus atau kursus kali ini lebih baik, malah aku rasa inilah kursus dan pakar motivasi paling tak menarik sepanjang aku berkapitalis di syarikat ini. Pengisian yang terlampau cenderung membodek, penceramah yang hanya menjerit-jerit, tapi itu semua tak penting.

Sebab aku lebih banyak rilek berbanding mana-mana kursus sebelum ini.

Malah, kawan-kawan agak risau melihat aku macam sesat, macam lost, tapi sebenarnya aku tengah enjoy bendalah indoktrin ni sebenarnya. Tercampak dalam satu kumpulan yang asing dan tiada orang tahu perangai kau, dan kumpulan yang dipenuhi manusia separuh umur, tak ada benda lain lagi yang boleh dibuat selain bersandar dan lepak-lepak saja.

Biar diorang yang buat atau rancang aktiviti kumpulan.

Hal ini, sebenarnya, boleh dikatakan antara satu pengalaman paradoks.

Rare.

Okay, semalam kawan-kawan pejabat cerita tentang blog aku, ini sesuatu yang rare.

Jadi, itu sebab aku kemaskini blog hari ini.

Friday, May 18, 2012

Packing. (2)

Si isteri agak skeptik sebenarnya mendengar aku merungut tentang 'sekolah menengah berulang kembali'. Memang pun, sebab aku buat ia kedengaran seperti aku ialah si jahanam keras kepala yang tak memerlukan nasihat.

Ya, kecuali nasihat dan segala bentuk indoktrin itu sebenarnya sudah ada dalam diri semua orang.

Aku kata padanya, "Ia macam Summer Camp. Walaupun sebenarnya Malaysia tiada summer. Kemarau ada la."

Tapi aku rasa si isteri takkan bergelar si isteri kalau dia tak mampu memahami aku. Cuma aku saja yang tak faham-faham dia lagi.

"Saya faham. Macam minggu orientasi kat universiti dulu. Senior-senior yang berlagak macam power sangat, terjerit-jerit, bajet bagus." kata dia.

Pada aku senang saja, motivasi dan keyakinan itu bermula pada tempat kita fokusnya. Macam contoh, kalau hal rumahtangga, ia bermula di rumah. Kalau kerja, ia bermula di pejabat. Tak perlu nak bersusah payah masuk hutan, berendam dalam sungai, buat persembahan bodoh, dan berkelana seratus-ratus kilometer untuk menjadikan ia positif dan motivasional.

"Macam contoh, tempat kerja awak," kata aku kepada si isteri, "Dulu awak ada masalah motivasi untuk datang kerja. Masalah itu bukan berasal dari rumah, ia berasal dari pejabat. Jadi, tak perlu susah payah nak pergi kursus itu ini nak perbetulkan emosi dan motivasi awak. Apa yang perlu diperbetulkan ialah masalah ditempat kerja. Sekarang, sejak perubahan yang berlaku di tempat kerja awak, semua masalah motivasi awak hilang. Tak payah nak habiskan masa dua hari dengar orang membebel."

Tapi, disebabkan aku ialah bangsat yang dah give up dengan segala benda yang berlaku di tingkat 17, maka, indoctrine it is.

Packing.

Dengan umur yang sebegini banyak, aku rasa Summer Camp atau apa-apa kursus indoktrin sudah tak lagi relevan untuk aku, sebenarnya. Sudah imun.

Macam sekolah menengah berulang lagi.

Friday, April 20, 2012

Bunyi.

Aku sedang tidur apabila aku disedarkan oleh satu bunyi kuat. Sambil berkalih-kalih di atas katil, aku cuba mencari bunyi itu.

Ianya hanya selepas sepuluh saat kemudian, apabila aku mengetahui bunyi kuat yang menyedarkan aku dari mimpi ialah bunyi dengkuran aku sendiri.

Bangsat betul.

Nampaknya aku kena mula turunkan berat badan.

Tuesday, April 17, 2012

Paradoks.

Dengan bergegarnya tingkat 17, aku berharap situasi di tingkat 17 turut bergegar.

Kerja dengan orang jahanam memang macam ni.

Tak apalah, sekurang-kurangnya, aku lega. Lega sebab ramai yang bengang macam aku. Paradoks.

Thursday, April 12, 2012

Tingkat 17.

Aku berada di dalam bangunan pejabat, tingkat 17, bila tiba-tiba ia bergoyang secara senyap dan mengerikan.

Sepatutnya aku mendengar tentang perkara 'evacuation' atau 'disaster recovery' atau apa-apa saja berkaitan dengannnya. Bukan "Stay calm and continue your work".

Bangsat.

Thursday, April 05, 2012

Pembalasan

Mulanya aku tak perasan sangat. Tapi suatu hari, aku rasa macam satu perasaan pelik bila menjamah makanan.

Rupanya, aku dah lama tak makan makanan pedas.

Ini semua sebab si isteri. Dia sedang berpantang, jadi segala makanan yang dia masak, tak pedas. Patutlah rasa macam kurang je hidup ni.

Aku memang hantu benda-benda pedas ni. Semalam kami pergi fastfood. Aku order burger ayam pedas. Tak cukup itu, aku order yang double. Si isteri pula bubur ayam. Aku jarang makan bubur ni sebab tak pedas, macam makanan orang sakit.

Tapi, semalam, aku rasa buburnya pedas, siap ada cili. Dan kebetulan, ianya sangat panas. Begitu juga dengan burger ayam aku.

Si isteri mula merungut. Makanan dia pedas dan panas, dan tak dapat nak pow makanan aku pula, atas sebab yang sama.

Dengan konpiden, aku kata,"Macam ni pedas?" sambil makan makanan aku dan ambil makanan dia.

Tapi apa yang dia, si isteri, tak tahu, malam tu aku lima kali pergi tandas. Ni pasal dah lama tak makan pedas le ni.

Wednesday, April 04, 2012

Buku.

Aku sebenarnya sudah malas nak mempercayai ayat "Don't judge a book by it's cover", secara literalnya. Sebab aku rasa buku yang punya cover dan bentuk yang menarik menunjukkan kesungguhan dan ketelitian penerbitnya. Secara tak langsung, ini juga menunjukkan kecenderungan penerbit kepada isi buku yang sama elok dengan cover.

Tapi, nampaknya aku silap. Taklah sepenuhnya silap. Cuma kadangkala kena juga aplikasikan ayat tu juga, ikut masa.

Tuesday, April 03, 2012

RM1

Aku tengah membersihkan rumah bila tiba-tiba aku teringat yang aku pernah suruh mak aku kumpul duit RM1 desain lama.

Mak aku seorang peniaga, jadi waktu itu memang tak jadi masalah untuk kumpul duit RM1 desain yang lama. Aku cakap pada dia, kumpul berapa banyak yang dapat, nanti aku bayar balik. Ini semua cerita lima enam tahun yang lepas.

Terpengaruh dengan cerita orang bagi duit mas kahwin dengan duit syiling RM1, tu yang aku pun nak kumpul duit kertas RM1 desain lama dan buat duit mas kahwin. Seingat aku, mak aku dapat kumpul dalam RM60 atau RM70 duit kertas tu. Walaupun sebenarnya aku cuma memerlukan dalam 22 keping saja, sebab, yalah, kau tahu, mas kahwin kat Johor cuma RM22.50 saja.

Tapi disebabkan tamak, mana tahu terdapat pula duit RM1 desain lama yang rare atau special edition, boleh jual dengan harga tinggi, jadi aku biarkan mak aku terus kumpul bayak-banyak.

Fast forward ke waktu sekarang, hampir setahun berkahwin, dari duduk berjauhan sampailah isteri gugur, baru sekarang aku teringat pasal benda ni. Aku pun tak tahu apa jadi dengan duit-duit tu. Aku rasa mak aku dah tak simpan lagi duit tu, tak pernah pula dia cakap.

Mungkin dia lupa. Aku pun lupa, lupa nak bayar balik kat mak aku ikut perjanjian. Haha.

Dan yang paling penting, kalau ada lagi pun duit tu sekarang, memang tak cukup la kot.

Sebab aku dapat orang Selangor. Diorang mas kahwin mahal. Haha.

Monday, April 02, 2012

Comfort zone

Aku sebenarnya sudah mula terlintas untuk berhenti kerja dan mencari kerja lain. Sebab aku rasa aku sudah tepu melayan keluh kesah warga Malaysia dan juga beberapa pelancong asing yang tersangkut di sini.

Tapi masalah tempoh notis berhenti tiga bulan tu yang melemahkan niat nak mencuba sesuatu yang baru.

Biasalah, berada di comfort zone adalah trademark Jementah 32. Tapi ada juga aku suarakan pada mereka-mereka yang dekat.

Si isteri cadangkan untuk cuba memohon untuk jadi pensyarah. Mungkin dia bosan dengan perbezaan waktu bekerja kami. Lagipula, tempat itu berdekatan dengan rumah. Kalau ada masalah lain pun, mungkin si isteri akan penuh dengan rasa insecure yang aku akan kahwin lagi dengan bakal student aku.

Tambah pula, dia baru tahu yang pensyarah yang dia hormati baru saja berkahwin lagi dengan student.

Kawan aku pula, menyokong kalau aku jadi pensyarah. Ini agak berlainan responnya berbanding aku beritahu kawan-kawan lain bila aku nak jadi cikgu.

"Kenapa aku sesuai jadi pensyarah?" tanya aku.

"Yalah, kau bukan suka banyak cakap pun. Kau jadi pensyarah, merepek sikit-sikit depan kelas, tak ada kaitan dengan silibus lepas tu suruh budak present." kata dia.

Aku tergelak besar dengan kata-kata dia.

Wednesday, March 21, 2012

Redha

"Adik ipar tanya juga kalau awak frust ke tak," kata si isteri.

"Kenapa?"

"Entah, dia cakap lelaki ada yang frust juga. Takut frust dan takleh control kot?"

Frust? Memanglah frust. Siapa tak kecewa bakal anak sendiri umurnya hanya setakat satu per tiga waktu kehamilan. Tapi, apa yang lebih penting dari kecewa ialah redha.

*

Aku sebenarnya sunyi sejak dari bakal anak aku dah tiada.

Walaupun sebenarnya dia tak pernah muncul secara fizikal dalam hidup kami, tapi aku rasa kehadirannya bila si isteri pening-pening, muntah-muntah dan lemah badan.

Dan bila aku lihat fizikalnya (setelah dikeluarkan masa keguguran), aku makin sayang padanya. Aku tak sangka dia sudah sebesar ini waktu itu. Tangan dan kaki sudah terbentuk, malah kelima-lima jari tangan kanan dan kiri, jari kaki kanan dan kiri, juga dah lengkap. Jari-jari yang halus dan lembut.

Hanya jantina saja yang tak diketahui.

Tapi, aku kena terima, bahawa ini masa untuk aku berpisah dengan anak ini.

*

Pelik juga sebenarnya menerima ucapan takziah dari kawan-kawan. Lagipun, ini adalah perkara yang tak pernah aku jangka akan hadapi. Kadang-kadang bila aku terima ucapan takziah dan pertanyaan mereka, aku macam banyak sangat benda yang nak diucapkan, tapi tak terluah.

Tak apalah, mungkin lain kali.

Tuesday, March 20, 2012

Paranoid.

Aku ada dengar macam-macam benda pasal paranoid. Tapi yang paling terbaru aku dengar ialah dari dapur rumah aku.

"Aaaaaaaaaaaahhhhhhhhhh!!!!!!!!!!"

"Kenapa tu?" tanya aku kepada si isteri.

"Huhu...takut...ingatkan tikus.." kata dia yang fobia pada jelmaan itu.

"Hmm? Habis, apa benda yang awak nampak?"

"Bayang-bayang sendiri,"

Aku yakin sangat rumah aku dah bebas tikus sebab aku dah tangkap satu-satunya tikus yang ada dalam rumah. Tapi nampaknya paranoid masih belum meninggalkan si isteri.

Wednesday, February 15, 2012

#ThanksPiaggio (2)

Bila aku lihat van itu mula bergerak jauh, terdetik juga rasa sayu dalam hati. Nasib baik mukanya tak memandang aku bila van itu bergerak.

Kalau tak mesti aku rasa sedih, sayu dan bersalah.

Tapi itulah orang kata, kalau kita suka seseorang itu, lepaskanlah. Sebab kalau ia kembali kepada kita, ia memang jodoh kita.

Kakak-kakak aku pun sebenarnya agak terkejut dengan keputusan aku. "Kau dah labur duit banyak kat vespa tu, kau nak bagi balik kat Abang Long?"

"Dah memang motor dia. Orang pinjam je. Pakai dan layan macam motor sendiri,"

Ya, memang motor itu motor abang ipar aku. Kalau dia nak balik pun, aku tak boleh nak buat apa. Tapi, terkilan sikit sebab aku baru bercita-cita untuk memulakan projek restorasi aku, selepas setahun motor tu tersadai kat rumah.

Tak apalah, aku beli motor lain, motor sendiri. Dan kalau satu masa nanti, bila abang ipar aku dah tak pakai vespa dia tu, aku nak ambil balik dan jaga ia semula.

Segan.

Aku sebenarnya malas nak hebohkan tentang perkara isteri aku sedang hamil ini ke pejabat.

Bukan sebab malu atau tak suka dapat anak, cuma ada rasa sedikit segan sebenarnya nak heboh-heboh. Tapi, akhirnya mereka tahu juga, sebab ada juga aku tanya-tanya berkenaan hal hamil dan urusan bayi. Walaupun taklah heboh dan sensasi sangat, tapi aku terima juga ucapan tahniah dan pujian dari kawan-kawan.

Masih tak faham kenapa aku rasa nak biarkan ianya rahsia sampai isteri aku dah nak bersalin? Ok, aku bagi situasi sebagai contoh.

Aku sedang berjalan memasuki pejabat di mana aku bakal bertembung dengan sekumpulan perempuan yang merupakan kawan sepejabat. Aku melintasi mereka dan senyum saja, sebab aku memang tak banyak bercakap di pejabat.

Salah seorang dari mereka, yang paling depan sekali, juga senyum-senyum pada aku, dan dia juga telah mengetahui aku bakal jadi bapa dan telah mengucapkan tahniah sebelum ini. Tiba-tiba dia berkata;

"Bagus..gagah, gagah abang ni." sambil disambut gelak kecil kawan-kawan, kerana mereka juga dah tahu.

Aku? Aku punya lah segan, cepat-cepat aku masuk dalam. Perasaannya seperti baru lepas dinodai dikhalayak ramai. Ha,macam tu la rasa segannya.

Stay calm.

Si isteri masih lagi dengan teori 'saya-berkahwin-dengan-orang-yang-tiada-perasaan'.

Ini kerana dia tak nampak reaksi-reaksi yang obvious dari aku bila dia disahkan mengandung.Dia nampak aku tenang, relax dan buat macam tiada apa-apa berlaku. "Muka tiada perasaan," katanya.

Sebenarnya, di luar je nampak tenang, tiada perasaan. Kat dalam ni dah goyang, cuak dan takut sebenarnya. Baru sah mengandung enam minggu, aku dah rasa nak pergi beli barangkeperluan bayi. Belum laginak fikir siapa nak jaga anak aku nanti bila kami bekerja. Nak bersalin kat mana. Kerajaan ke swasta. Cuma kadang-kadang aku tak mahu isteri aku salahertikannya sebagai tak sedia nak ada anak atau tak suka ada anak cepat.

Jadi, aku stay calm tentang ini dan plan sedikit demi sedikit. Gila kau. Berdebar ni.

Life just happened.

Kalau ada sesiapa tanya pada aku, apa jadi sepanjang aku tak kemaskini blog ini, aku akan kata;

"Life happened."

Lula kahwin dan pindah dari rumah. Isteri aku pindah masuk rumah aku. Tiada lagi perjalanan ke Pulau Pinang. Vespa aku juga dah kembali kepada abang ipar aku. Dan juga isteri aku mengandung. Jadi, beberapa bulan yang dirumuskan dengan dua perkataan, "Life happened."

Aku sedang menyesuaikan diri dengan perubahan-perubahan ini. Sibuk berkeluarga. Then again, ia mengingatkan kata-kata seorang makcik pada hari perkahwinan aku.

"Banyak bersabar ye. Hidup berumahtangga ni banyak cabaran."